KUALA LUMPUR, 12 Okt – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama menzahirkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan serangan dan penindasan dari Regim Zionis dengan bersama-sama hadir dalam Himpunan #SolidarityForPalestine.
Himpunan terbabit yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan diadakan selepas solat, Jumaat di Masjid Negara.
“Insya-Allah Himpunan #SOLIDARITYFORPALESTINE akan diadakan Jumaat ini selepas solat Jumaat di Masjid Negara. Barisan Ketua Pemuda BN dan PH bersama dengan NGO-NGO dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskannya.
“Ayuh beramai-ramai menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin yang terus ditindas dan diperlakukan bagaikan tiada langsung nilai kemanusiaan dan hak kepada tanahair mereka sendiri oleh regim Zionis Israel; yang didokong kuasa-kuasa besar yang jelas punya dwi-standard dalam membicarakan soal hak asasi manusia dan hak warga yang merdeka sebagaimana disepakati dalam Resolusi PBB,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Dalam laporan hari ini, penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dihujani bom yang digugurkan jet-jet tempur tentera Israel, menyasarkan bangunan kediaman dan infrastruktur awam, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Serangan dahsyat itu berlaku ketika pegawai-pegawai Rejim Zionis berikrar mengetatkan kepungan ke atas Gaza untuk menghukum penduduknya selepas pejuang Hamas melancarkan serangan besar-besaran dan mengejut ke atas Israel, Sabtu lalu. – UMNO Online
